EKONOMI

TURKIYE SASAR GANDA PERDAGANGAN DENGAN MALAYSIA KEPADA US$10 BILION

10/02/2025 07:31 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Turkiye menyasar untuk menggandakan perdagangannya dengan Malaysia kepada US$10 bilion selepas melepasi paras US$5 bilion pada 2024, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan. 

“Daripada teknologi semikonduktor kepada automotif, daripada teknologi pesawat kepada simulator awam (penerbangan), kami ingin meningkatkan usaha bersama dalam setiap sektor dan bergerak maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia,” kata beliau selepas menyampaikan syarahan umum di sini, hari ini.

Terdahulu, Erdogan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) hari ini, sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi global dan rundingan antarabangsa.

Presiden Turkiye itu tiba di Malaysia hari ini sempena lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketibaan beliau yang diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine, disambut oleh Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. 

Erdogan berkata pengembangan perdagangan mencerminkan komitmen Turkiye untuk memperdalam hubungan ekonomi dengan Malaysia, membina perkongsian strategik komprehensif yang dijalin pada 2022.

Menurutnya, hubungan Turkiye dengan Malaysia beralih kepada 'perkongsian strategik' pada 2014 dan seterusnya berkembang dengan inisiatif kerjasama konkrit.

"Sejajar dengan hubungan erat yang telah berakar umbi antara rakyat kita, kita mula mengukuhkan kerjasama dengan langkah-langkah padu, dan bagi kami, Malaysia adalah salah satu negara terulung di rantau ini dengan penduduknya hampir 35 juta, ekonomi dinamik, dan sumber manusia yang berkelayakan, " katanya.

Mengulas mengenai kerjasama yang terjalin antara Turkiye dan Malaysia, Erdogan berkata industri penerbangan Turkiye menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada lebih daripada 100 jurutera muda Malaysia manakala pembinaan kumpulan kedua kapal misi pesisir oleh Turkiye sedang berjalan lancar..

"Kita mempunyai kerjasama penting dalam pembinaan pesawat tanpa pemandu Anka-s (UAV)," katanya.

Erdogan juga menjelaskan tentang usaha Turkiye untuk menubuhkan sekolah Turkish Maarif Foundation di Malaysia yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara bagi generasi akan datang.

“Kami telah membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Kami telah membangunkan peluang yang besar, terutamanya dalam bidang pendidikan di Turkiye. Justeru saya ingin menjemput pelajar muda untuk memanfaatkan peluang pendidikan di negara kami,” katanya.

Sementara itu, Erdogan memuji kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini dan pencapaian negara dalam diplomasi, pembuatan, kewangan dan perdagangan di bawah kepimpinan Anwar.

“Saya amat berharap penggal baharu (kepengerusian) di bawah kepimpinan Anwar ini akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama antara negara kami dan ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan