PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Sebaik tiba pada 11.10 pagi, Erdogan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Erdogan kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mej Khairul Fakhzan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Selepas itu, Erdogan menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan pertemuan empat mata dengan Anwar.
Lawatan Erdogan adalah atas jemputan Anwar, mengeratkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye ialah RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, merekodkan peningkatan 18.7 peratus dari 2023.
-- BERNAMA