PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- ASEAN mengambil pendirian tetap menyokong gencatan senjata yang berkekalan di Semenanjung Gaza, dengan Malaysia berikrar memberikan sokongan penuh terhadap usaha pembinaan semula wilayah itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, komited untuk memastikan sokongan yang mencukupi diberikan untuk usaha pembangunan semula di Gaza.
“Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bulan lepas telah mengadakan perbincangan dengan semua menteri luar ASEAN dan mereka telah mengulangi pendirian tersebut.
“Saya akan meneruskan perbincangan dengan semua pemimpin, bagi memastikan sokongan mencukupi diberikan terhadap inisiatif Jepun, yang dipengerusikan bersama Malaysia, untuk usaha pembangunan semula Gaza dengan segera,” katanya pada sidang media bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, di sini hari ini.
Erdogan tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari.
Anwar turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan di Gaza dan Palestin.
“Apa yang lebih mendesak tentunya usaha pembangunan semula Gaza, Palestin. Turkiye telah menunjukkan kepimpinannya, seperti yang diketahui mereka telah menghantar sekurang-kurangnya 100 kapal membawa peralatan dan sokongan untuk bantuan kemanusiaan. Sepengetahuan saya, ini sesuatu yang menakjubkan dan tidak dapat ditandingi mana-mana negara lain,” katanya.
Perdana Menteri turut mengesahkan komitmen Malaysa untuk terus memainkan peranannya, menggunakan pelbagai kemudahan di Turkiye, selain di Qatar dan Mesir bagi menyokong bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Selain itu, beliau turut mengumumkan sokongan Malaysia terhadap inisiatif Jepun menubuhkan dana khusus untuk pembinaan semula Gaza.
Bulan lepas, Anwar berkata Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai permulaan kepada usaha bersepadu negara dalam membantu pembinaan semula Gaza, yang telah dibom dengan teruk oleh tentera Israel sejak Oktober tahun lepas.
Usaha pembinaan semula itu kata beliau akan dilaksanakan secara bersama dengan kerjasama rakyat dan pihak swasta.
Seperti yang saya katakan kepada Presiden Erdogan, kami tentunya akan menyokong inisiatif Jepun untuk menubuhkan satu dana bagi pembinaan semula Gaza. Mereka akan mempengerusikannya dan telah meminta kami untuk menjadi pengerusi bersama dalam rancangan dinamakan Pelan Pembinaan Semula Asia Timur untuk Gaza dan Palestin,” kata beliau.
Mengenai isu serantau, Anwar menekankan usaha berterusan Malaysia bersama anggota ASEAN lain dalam menangani krisis berpanjangan di Myanmar dan nasib masyarakat Rohingya.
Perdana Menteri berkata beliau telah berkongsikan kebimbangan beliau mengenai Rohingya dan perkembangan terkini di Myanmar.
Sementara itu, Presiden Turkiye menegaskan bahawa kerjasama erat antara Turkiye dan Malaysia dalam isu-isu antarabangsa terus kukuh, terutamanya dalam usaha menangani penderitaan rakyat Palestin.
Beliau berkata Turkiye secara aktifnya telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.
“Kami telah menghantar 100 kapal ke Palestin… dan kapal-kapal ini akan terus dihantar,” kata Erdogan sambil menekankan komitmen Ankara untuk terus menyokong rakyat Palestin.
Erdogan turut mengiktiraf pendirian tegas Malaysia terhadap isu Palestin.
“Kami juga bersama-sama dengan pendirian Malaysia mengenai Gaza dan Palestin,” katanya dan menambah bahawa Israel perlu menamatkan kependudukan di wilayah Palestin dan bertanggungjawab terhadap kemusnahan yang dilakukan.
Presiden Turkiye itu turut mengulangi sokongan beliau untuk penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
-- BERNAMA