EKONOMI

MALAYSIA KOMITED PERKUKUH KERJASAMA LAPANGAN TERBANG DENGAN TURKIYE - PM ANWAR

11/02/2025 06:37 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas keyakinan kerajaan Turkiye terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sekali gus mengesahkan lagi kerjasama kukuh dalam pengendalian Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA).

Anwar yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa keyakinan terhadap pelaburan MAHB itu turut memaparkan keakraban hubungan dua hala dan Malaysia akan terus menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan, firma pembinaan dan pasukan pengurusan di Turkiye dalam memastikan kejayaan usaha itu secara berterusan.

MAHB memegang 100 peratus kepentingan dalam ISGA menerusi unitnya di Turkiye, Istanbul Sabiha Gökçen Uluslararasi Havalimani Yatirim Yapim ve Isletme AS.

“Kami amat bertuah kerana kerajaan anda, Presiden (Recep Tayyip) Erdogan telah memberi kepercayaan dan keyakinan kepada pihak berkuasa lapangan terbang kami, MAHB, untuk meneruskan kerjasama dengan Lapangan Terbang Sabiha.

“Sudah pasti, kami akan bekerjasama erat sebagaimana dipersetujui dengan pihak berkuasa tempatan, syarikat pembinaan dan pengurusan tempatan,” kata beliau dalam sidang media bersama Presiden Erdogan di sini, hari ini.

Erdogan dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula 10 Feb, 2025.

Dalam pada itu, Anwar turut mengetengahkan kejayaan Turkiye dalam aspek syarikat penerbangan dan pengurusan lapangan terbang yang tidak hanya ketara di Turkiye, malah turut menjadi contoh di Eropah dan peringkat global. 

“Saya sentiasa mengingatkan rakan sekerja untuk mengenal pasti dan mendapatkan contoh (kejayaan itu). Apabila saya mula mengikuti perkembangan Turkiye dan mengenali Presiden Erdogan secara dekat, Turkish Airlines pernah dianggap sebagai (syarikat penerbangan) paling lemah dan teruk di Eropah.

“Namun, kini di bawah teraju anda (Presiden Erdogan), saya tidak tahu bagaimana, tetapi anda berjaya mengubahnya menjadi peneraju syarikat penerbangan. Lapangan terbang pula adalah antara yang terbesar, paling cekap serta menarik kehadiran ramai pengunjung,” kata beliau.

Selain mengakui transformasi pantas dicapai oleh Turkiye dalam tempoh kurang sedekad, Perdana Menteri turut menekankan hasrat Malaysia untuk menyelami dan berkongsi kejayaan sedemikian.

“Dalam perkara lain, pastinya, kerjasama kedua-dua negara akan berterusan dalam sektor lain, termasuk tenaga dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat berkaitan serta industri halal, kesihatan, sektor digital dan pengurusan bencana,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Erdogan menyuarakan hasrat Turkiye untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia menerusi kerjasama dalam sektor penerbangan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran lebih ramai saudara (dari Malaysia) ke Turkiye. Kami juga mahu mengetengahkan peranan kritikal syarikat penerbangan kami dalam memacu hubungan kemanusiaan ini.

“Kami telah melipatgandakan jumlah penerbangan ke Sabiha Gokcen dan berharap melihat lebih banyak penerbangan di masa akan datang. Ini sejajar dengan hasrat kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor ini,” kata beliau.

MAHB merupakan sebahagian daripada konsortium yang berjaya meraih kontrak bernilai €1.93 bilion (RM8.9 bilion) pada 2008 untuk membina dan mengurus ISGA sehingga 2032.

Pengendali lapangan terbang itu juga telah mencadangkan untuk melakukan pelaburan tambahan di Turkiye yang melibatkan peningkatan kapasiti terminal tambahan dan menjadi sebahagian daripada pelanjutan konsesi berkenaan.

Dalam mesyuarat dua hala bersama Erdogan pada September 2023, Anwar dilaporkan menyatakan persetujuan pemimpin Turkiye itu untuk membenarkan MAHB terus mengendalikan ISGA selepas kerajaan berpuas hati dengan kejayaan operasi syarikat Malaysia berkenaan.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selain menjadi destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. 

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Turkiye mencecah RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus daripada 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan