POLITIK

PH-BN BINCANG HALA TUJU PADA KONVENSYEN KERAJAAN PERPADUAN KEDAH SABTU INI

11/02/2025 10:08 PM

SUNGAI PETANI, 11 Feb (Bernama) -- Konvensyen Kerajaan Perpaduan Kedah pada Sabtu ini, akan membincangkan pelbagai perkara termasuk persiapan dan hala tuju Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘kerajaan menanti’ di Kedah.

“Pertemuan baru-baru ini, kami (PH dan BN) ambil kesempatan untuk berbincang tentang bagaimana kami boleh memposisikan diri sebagai pembangkang yang lebih dipercayai dan efektif (di Kedah),” kata Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi PH Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Prospek dan Keluarga sempena sambutan Thaipusam dan Lawatan Kerja di Penjara Sungai Petani di sini hari ini.

Pada 28 Jan tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan