KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil tahun ini, dengan julat antara RM4,500 hingga RM5,000 setiap tan, menurut penganalisis.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research menjelaskan kestabilan itu akan didorong oleh aktiviti pengisian stok menjelang Ramadan, di samping pengeluaran minyak sawit yang perlahan dan paras stok akhir yang rendah.
“Harga MSM untuk penghantaran berakhir bulan ini adalah RM4,600 setiap tan, dengan harga purata RM4,673 satu tan (-8.7 peratus bulan ke bulan, +23.5 peratus tahun ke tahun) susulan kebimbangan mengenai risiko bekalan yang semakin meningkat menjelang Ramadan,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.
CIMB Securities Sdn Bhd turut senada dengan bank pelaburan itu apabila menjangkakan harga MSM kekal kukuh, memandangkan paras stok minyak sawit yang rendah di kalangan negara pengeluar dan pengguna utama.
“Kami mengekalkan unjuran harga purata MSM kami pada RM4,200 setiap tan bagi 2025 selain menjangkakan kalangan penanam melaporkan pendapatan lebih baik bagi suku keempat 2024, disokong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan peningkatan pengeluaran dari Indonesia,” tambahnya.
CIMB juga mengulangi saranan “overweight” untuk sektor ini, dengan Sime Darby Plantation, IOI Corporation, dan Hap Seng Plantations sebagai pilihan utama.
Sementara itu, penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran harga MSM untuk 2025 dan 2026 masing-masing pada RM4,000 dan RM3,800 setiap tan, serta saranan neutral ke atas sektor ini.
“Kami mengekalkan pandangan bahawa harga MSM akan kekal pada paras tinggi bagi jangka masa pendek (mungkin sehingga akhir suku pertama 2025, disokong oleh prospek pengeluaran terdekat yang rendah) dan kekukuhan harga MSM dijangka reda selepas suku pertama 2025,” tambahnya.
-- BERNAMA