KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperkenalkan Program Modenisasi Pertanian Orang Asli, bagi meningkatkan pendapatan dan daya saing masyarakat itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program yang bertujuan mengubah landskap pertanian dan penternakan Orang Asli akan menggunakan teknologi moden.
Ahmad Zahid berkata program yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penerima dalam tempoh lima tahun itu, menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang melibatkan peningkatan produktiviti sektor pertanian.
“Antaranya bantuan kelengkapan pertanian sehingga RM5,000, serta peruntukan RM50,000 bagi pembangunan infrastruktur pertanian seperti sistem pengairan, stor penyimpanan hasil dan rumah hijau di kawasan penempatan Orang Asli.
“Kerajaan juga menyediakan bantuan mekanisasi pertanian sehingga RM15,000 yang merangkumi sokongan untuk jentera kecil dan sistem pengairan automatik, serta bantuan integrasi pertanian sehingga RM10,000 bagi pembangunan sistem pertanian bersepadu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Bantuan Sara Hidup sebanyak RM170 sebulan, diberikan kepada lebih 2,000 penerima setiap tahun sehingga tanaman sawit berhasil di bawah Program Tanam Semula Ladang Orang Asli.
Beliau berkata JAKOA turut melaksanakan Program Pembangunan Usahawan dan Koperasi Orang Asli bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti, dengan menyediakan Geran Bantuan Bimbingan Usahawan untuk membina premis perniagaan termasuk bengkel dengan kadar tidak melebihi RM50,000.
“Pemberian bantuan Peralatan dan Mesin Ringan sehingga RM30,000, bantuan Geran Koperasi sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan bantuan Program Skim Insentif Sokongan Koperasi (SISKOP) yang tidak melebihi RM25,000.
“Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, kerajaan menyasarkan peningkatan 40 peratus dalam kadar pendapatan isi rumah Orang Asli menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dalam komuniti ini secara berkesan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata walaupun kemajuan masyarakat Orang Asli menjadi tanggungjawab JAKOA, namun ia perlu digerakkan secara bersama sebagai agenda nasional dengan penglibatan sektor swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
Beliau yakin menerusi pendekatan strategik dan bersepadu, masyarakat Orang Asli akan terus maju, berdaya saing dan mampu berdikari dalam arus pembangunan negara.
-- BERNAMA