PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) diminta untuk melaksanakan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai tanggungjawab membayar pinjaman.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata membayar semula pinjaman ialah tanggungjawab semua peminjam bagi memastikan pihak pemberi pinjaman mempunyai dana berterusan untuk disalurkan kepada generasi seterusnya sekali gus menjamin kelangsungan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
"Kita perlu tingkatkan usaha untuk menanam dalam sanubari rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang sebenarnya dalam keadaan mampu untuk membuat bayaran. Maka, wajar mereka laksanakan tanggungjawab membayar semula hutang termasuk dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.
"Harapan saya sebelum masuk Ramadan, RTM dan Bernama meneliti dan melihat beberapa aspek tentang isu hutang piutang yang mungkin kita perlu fikirkan kaedah terbaik dalam memberi peringatan kepada semua rakyat Malaysia," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.
Fahmi berkata beliau dimaklumkan oleh pihak PTPTN terdapat lebih kurang 10,000 peminjam yang tegar tidak membayar hutang.
"Jumlah untuk setiap individu itu mungkin tidak besar, tetapi kalau dikumpulkan ia jumlah yang agak signifikan dan diperlukan untuk meneruskan program PTPTN," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) diminta untuk bekerjasama dengan Akademi Kenegaraan bagi melaksanakan program berskala besar bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam tentang kepentingan mempunyai nilai budaya tinggi yang mencerminkan kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kementerian masih dalam peringkat kajian mengenai rasionalisasi agensinya, seperti disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara.
"Kita ada teliti (berkaitan rasionalisasi). Hal ini sedang diteliti secara terperinci oleh Datuk KSU (Ketua Setiausaha) dan juga agensi-agensi. Belum lagi masanya untuk saya sebutkan langkah-langkah kerana masih pada peringkat kajian pada waktu ini," katanya.
Ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi tadi, Anwar dilaporkan berkata usul untuk menyeragamkan beberapa agensi kerajaan bagi menangani isu pertindihan fungsi akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
-- BERNAMA