DUNIA

INDEKS DXY SURAM, RINGGIT DIBUKA MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS

13/02/2025 09:23 AM

Oleh Engku Shariful Azni, Fatin Umairah Abdul Hamid dan Karina Imran

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika Indeks Dolar AS kekal suram walaupun laporan inflasi negara maju itu meningkat daripada jangkaan awal.

Pada 8 pagi ini, ringgit mengukuh ke paras 4.4675/4745 berbanding dolar AS daripada 4.4680/4725 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks Harga Pengguna keseluruhan dan teras AS masing-masing meningkat 3.0 peratus dan 3.3 peratus pada Januari 2025 yang mengatasi unjuran konsensus masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.1 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data terkini inflasi AS itu hanya mengukuhkan lagi persepsi bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak berada dalam kedudukan untuk segera melonggarkan dasar kadar faedah.

Beliau berkata Pengerusi Fed Jerome Powell telah menyatakan pendirian itu dengan jelas dalam keterangannya kepada Kongres AS dan menegaskan masih banyak perlu dilakukan untuk mencapai mandat kestabilan harga.

“Berikutan itu, ringgit diunjur kekal dalam kedudukan kurang memberangsangkan berbanding dolar AS ketika Fed tidak menunjukkan sebarang isyarat akan menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, ketidaktentuan dasar berkaitan tarif import oleh Presiden Donald Trump juga akan hanya menambah tarikan dolar AS dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun yang menyaksikan unit tempatan itu meningkat kepada 2.8966/9014 daripada 2.9106/9137, semalam.

Ringgit susut berbanding berbanding euro kepada 4.6422/6495 daripada 4.6351/6398 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5620/5708 daripada 5.5613/5669.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.           Ia mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3024/3078 daripada 3.3028/3064 namun rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1301/1603 daripada 13.0953/1151, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina iaitu masing-masing pada paras 272.7/273.4 dan 7.68/7.69.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan