AM

SULTAN SHARAFUDDIN TITAH KKM SEGERA SELESAI ISU KEKURANGAN KATIL HOSPITAL

13/02/2025 03:17 PM

KAJANG, 13 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mempertimbangkan pembinaan hospital baharu serta penambahbaikan fasiliti sedia ada bagi menyelesaikan masalah kekurangan katil di hospital-hospital utama di negeri itu.

Baginda bertitah langkah itu perlu diambil kerana kepenggunaan katil di beberapa hospital utama kini amat tinggi, sehinggakan terdapat pesakit yang tidak dapat ditempatkan di katil apabila dimasukkan ke wad. 

Sultan Sharafuddin turut menitahkan KKM untuk mempertimbangkan pembinaan lebih banyak klinik kerajaan baharu di kawasan yang strategik bagi membolehkan rakyat mendapat akses yang lebih meluas kepada rawatan kesihatan yang dikenakan caj berpatutan.

"Beta dapati berlaku kekurangan fasiliti Klinik Kesihatan di seluruh Selangor berbanding dengan bilangan penduduk," titah Baginda semasa menyampaikan titah ucapan pada majlis perasmian Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak dan penjenamaan semula Hospital Kajang kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut hadir.

Sultan Sharafuddin turut merujuk kepada isu kekurangan petugas kesihatan kerajaan sehinggakan ada antara mereka yang perlu betugas syif berganda, justeru Baginda menitahkan KKM agar segera menyelesaikan isu tersebut supaya jumlah kakitangan kesihatan dapat diagihkan secara saksama.

"Sekiranya perjawatan tidak mencukupi, wujudkanlah jawatan tersebut bagi menampung keperluan yang amat mendesak ini.

"Beta percaya dengan adanya sistem kerja yang tersusun dan ditambah baik, kebajikan para kakitangan hospital akan terjamin serta kesejahteraan dari segi mental dan fizikal mereka akan lebih kuat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan pandangan bahawa perkhidmatan kesihatan di negara ini khususnya di Selangor perlu segera dipersiapkan untuk menghadapi peningkatan pesakit warga emas susulan unjuran Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2035.

Baginda bertitah perubatan dan kesihatan khusus iaitu perkhidmatan geriatrik bagi warga emas masih di peringkat yang belum boleh dibanggakan berbanding negara lain seperti Jepun dan Singapura. 

"Beta berpandangan unit geriatrik harus diperbesarkan dan dinaik taraf di beberapa fasiliti hospital mahupun Klinik Kesihatan dengan tenaga pakar yang bersesuaian," titah Baginda.

Baginda turut menitahkan KKM mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital rujukan bagi penjagaan geriatik bagi menampung keperluan di Selangor.

Mengenai perasmian hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak di hospital ini diharap mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat di daerah Hulu Langat.

“Sebagaimana kita semua maklum, hospital ini telah beroperasi sejak tahun 1889 dan fasiliti yang ada telah pun ditambah baik serta dinaik taraf dari masa ke semasa.

"Alhamdulillah, rakyat di Hulu Langat kini mempunyai pilihan kemudahan hospital Kerajaan yang dilengkapi dengan peralatan canggih dan berteknologi tinggi bagi penyampaian perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak yang komprehensif," titah Baginda.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan