JEMPOL, 13 Feb (Bernama) -- “Dek Mat beria-ia mahu buat kenduri doa selamat dan makan-makan di rumah ibu pada hujung tahun dan awal bulan ini, tak sangka itu perjumpaan terbesar kami yang terakhir,” luah kakak kepada Mohd Najmuddin Shapie yang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di KM 6 Jalan Bahau-Rompin, malam tadi.
Nurfatin Farhanah, 35, berkata Mohd Najmuddin, 31, atau mesra dipanggil Dek Mat itu bersungguh-sungguh mahu mengadakan kenduri dan memanggil semua keluarga dan saudara-mara.
“Dia kata dah lama tak buat makan ramai-ramai. Alhamdulillah, kami sempat menunaikan permintaannya. Lepas ini pasti kami sunyi kerana dialah penyeri keluarga, tapi apa pun berlaku kami reda,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Jempol di sini hari ini.
Berkongsi detik mendapat perkhabaran sedih itu, Nurfatin Farhanah berkata Mohd Najmuddin yang juga imam di Surau Felda Palong 18 itu meminjam kereta Perodua Axianya untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum memaklumkan mahu membawa tiga bekas pelajarnya makan di Bahau.
Nurfatin Farhanah berkata kira-kira 9 malam, pesanan WhatsApp yang dihantar kepada Mohd Najmuddin tidak mendapat balasan namun menyangkakan telefon adiknya itu kehabisan bateri.
“Dia tak balas, hanya ada satu tick, selalunya dia akan balas juga walaupun lambat…sekitar 11 malam, saya dapat panggilan telefon memaklumkan adik kemalangan dan perlu ke hospital untuk buat pengecaman. Macam nak gugur jantung, ingatkan kemalangan biasa sahaja," katanya.
Nurfatin Farhanah berkata Mohd Najmuddin yang juga anak keenam daripada tujuh beradik itu masih mengikuti pengajian Ijazah Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar dan berhasrat menjadi seorang imam terkemuka suatu hari nanti.
Mangsa lain terkorban dalam nahas itu ialah bekas pelajar Mohd Najmuddin yang juga penumpang, Haziq Hakimi Mahindra,19, Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul,18 dan Muhammad Adi Putra Muhammad Faidzul, 16.
Turut terkorban pemandu kereta Toyota Mark X, Lim Kwang Poh, 51, manakala pemandu Ford Ranger iaitu lelaki berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, empat daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta kaki manakala Muhammad Adi Putra meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Haziq Hakimi, Noraini Yusof, 40 berkata anaknya dan Mohd Najmuddin sangat rapat serta menganggapnya seperti abang angkat.
“Mohd Najmuddin pernah jadi guru sandaran di sekolah anak mak cik, jadi mereka memang rapat. Mak cik tidak menyangka kemalangan tersebut sehingga menyebabkan kesemua mereka maut namun mak cik sekeluarga tetap reda dengan ketentuan ini,” katanya.
-- BERNAMA