AM

SPRM ADAPTASI TEKNOLOGI AI, PERKUKUH USAHA BANTERAS RASUAH - AZAM BAKI

14/02/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan beradaptasi dengan teknologi baharu termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah di negara ini selaras dengan iltizam kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata seiring penjenamaan semula SPRM daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini, banyak perubahan terhadap perundangan dan struktur agensi itu dilakukan yang memberi lebih kebebasan dalam hal penyiasatan namun dalam masa sama cabaran yang dihadapi juga semakin berat.

"SPRM menyahut seruan dan iltizam Perdana Menteri serta kerajaan, bukan sahaja dalam usaha membanteras rasuah secara total dan mengurangkan ketirisan negara tetapi juga dalam memperkasakan penyiasatan dengan teknologi terkini seperti pendigitalan dan AI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Beristiadat SPRM 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Azam menyatakan komitmen untuk terus memperkasakan SPRM dengan sokongan penuh kerajaan khususnya sejak Anwar mengambil alih kepimpinan negara.

"Perdana Menteri mempunyai visi yang jelas dalam memerangi rasuah dan sokongan dari segi kewangan serta penambahan pegawai, amat kami puji," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui cabaran besar masih menanti SPRM, khususnya dalam meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang kekal pada kedudukan sama seperti tahun 2023.

"Ini adalah cabaran bagaimana usaha kita untuk meningkatkan CPI ke arah wawasan Perdana Menteri untuk berada dalam kedudukan 25 daripada 180 negara dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Azam menegaskan bahawa SPRM sebagai agensi utama akan memastikan kejayaan agenda tersebut dan akan melakukan pelbagai langkah untuk memperkasakan kecekapan serta pengetahuan pegawai dalam menghadapi cabaran berkaitan isu itu.

Selasa lepas, Transparency International Malaysia (TI-M) mengumumkan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 secara global dalam CPI 2024 dengan skor 50 untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan