KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk memuktamadkan penyelesaian pemberian subsidi diesel kepada penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perbincangan akhir itu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan bagi memastikan penyedia perkhidmatan seperti pembajakan, pengangkutan dan peralatan lain akan mendapat subsidi itu.
“Saya yakin apabila bantuan diesel ini telah diberikan kepada penyedia perkhidmatan, maka kos pembajakan dan yang lain-lain juga akan turun. Untuk memastikan penurunan ini berlaku, KPKM boleh mengetatkan peraturan dan penguatkuasaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan penyasaran subsidi diesel kepada penyedia perkhidmatan dalam industri itu mengambil masa kerana kebanyakan jentera, kenderaan dan peralatan yang digunakan tidak mempunyai dokumen lengkap, selain hanya digunakan pada waktu tertentu sahaja.
“Misalnya, jentera penuaian hanya digunakan pada waktu menuai, manakala pam air persendirian hanya digunakan pada waktu ingin memasukkan air ke dalam bendang dan bukannya diguna sepanjang masa. Jumlah penggunaannya perlu dikaji dengan terperinci sebelum jenis dan jumlah bantuan dapat ditentukan,” katanya.
Pada sesi penerangan menteri mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara di Dewan Rakyat semalam, KPKM telah menetapkan harga lantai belian padi akan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Dalam hantaran yang sama Mohamad berkata langkah penyelarasan kesemua harga lantai, harga pintu gudang dan harga beras harus dilakukan dengan cermat agar tidak mendatangkan kesan buruk pada masa hadapan.
“Misalnya, jika harga beras import turun ke peringkat terendah seperti RM2,000 per tan, apakah kesannya jika harga beras tempatan pula pada kadar RM3,600 per tan? Kemungkinan boleh berlaku padi tempatan tidak dibeli pengilang dan pengguna pun tidak berminat. Pada waktu itu, pesawah tentu akan tersepit sekali lagi,” katanya.
Beliau berharap agar golongan pesawah akan terus mengerjakan sektor padi dan beras dan tidak akan meninggalkan sektor terbabit.
“Kita tidak mahu apa yang telah berlaku kepada penanaman sayur yang dulu dikatakan rugi, tapi sekarang dikuasai oleh pendatang dan kini mereka yang mengaut keuntungannya,” katanya.
-- BERNAMA