KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Prof Dr Arham Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang ketujuh berkuat kuasa Ahad ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Razli Che Razak.
“Memiliki kepimpinan institusi dan pengalaman pentadbiran organisasi yang luas di pelbagai peringkat, kementerian yakin Prof Dr Arham Abdullah mampu menerajui UMK dalam mengupayakan pembangunan akademik dan memperkasakan kecemerlangan berteraskan inovasi bagi melahirkan bakat terbaik negara terutama dalam bidang keusahawanan secara optimum,” menurut kenyataan itu.
Arham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1998 dan 1999 serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Binaan Loughborough University, United Kingdom pada 2003.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di UTM pada 1999 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM dari 2010 hingga 2014.
Arham kemudiannya dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima tahun dari 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dari 2019 hingga kini.
KPT dalam kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Razli atas jasa bakti beliau menerajui UMK sejak 1 Mac 2022.
-- BERNAMA