KIMANIS, 15 Feb (Bernama) --Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyasarkan untuk membiayai 5,000 usahawan di Sabah dengan nilai peruntukan sebanyak RM125 juta tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata sejak TEKUN Nasional diwujudkan pada 1998 hingga Dis tahun lepas, sebanyak RM1,159 billion telah disalurkan kepada 65,242 usahawan melalui 26 pejabat TEKUN di Sabah.
"Setakat Januari lepas, sebanyak RM7.4 juta telah disalurkan kepada 412 usahawan TEKUN Sabah manakala bagi Parlimen Kimanis sebanyak RM190,000 diberikan kepada 14 usahawan bagi tempoh yang sama," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat TEKUN cawangan Kimanis di sini hari ini.
Pejabat itu adalah yang ke-175 dan mula beroperasi pada 2 Sept tahun lepas.
Ewon berkata bagi tujuan penambahbaikan, TEKUN Nasional mengambil inisiatif dengan membuka pejabat Kimanis yang digabung bersama pejabat Beaufort.
Beliau berkata dengan pembukaan pejabat baharu itu, lebih ramai usahawan akan dapat menerima manfaat dan TEKUN Nasional akan mempertingkatkan usaha untuk membantu lebih ramai usahawan di kawasan Kimanis bagi meningkatkan taraf hidup.
Untuk membantu usahawan yang berniaga di pasar tamu beliau berkata TEKUN Nasional turut menawarkan pembiayaan kepada usahawan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu.
"Sejak dilancarkan pada 2023, jumlah pembiayaan yang telah disalurkan di bawah skim ini sebanyak RM 6.1 juta yang memberi manfaat kepada 1,525 usahawan," katanya.
-- BERNAMA