GEORGE TOWN, 15 Feb (Bernama) -- Demonstrasi operasi menyelamat oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya memukau ribuan pengunjung yang hadir pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 agensi itu di Persiaran Karpal Singh, di sini hari ini.
Dalam pertunjukan mendebarkan selama hampir 30 minit berdasarkan kes rompakan di laut melibatkan kapal dagang, anggota pasukan tindakan khas Maritim Malaysia itu mempertontonkan kehebatan mereka yang dibantu aset udara untuk berdepan situasi berkenaan.
Bunyi letupan piroteknik selain aksi tangkas anggota melakukan teknik ‘fast-roping’ bagi menggempur kapal yang ditawan menambahkan lagi keterujaan penonton, sebelum persembahan itu diakhiri dengan lintas hormat helikopter AS365 N3 dan AW139 milik Maritim Malaysia.
Hadir menyaksikan demonstrasi itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Maritim Malaysia hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-20 dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.
Sementara itu, Saifuddin berkata sambutan ulang tahun Maritim Malaysia tahun ini dimeriahkan dengan upacara pemeriksaan armada 13 aset kapal pelbagai kelas di samping pesawat udara AW139 dan Dauphine.
“Karnival Maritim Perkasa (KMP) turut diadakan selama tiga hari bermula semalam, menampilkan pameran agensi keselamatan, aktiviti interaktif, jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan persembahan khas Datuk Awie,” katanya.
Penyampaian pelbagai anugerah turut berlangsung termasuk Piala Laksamana bagi Maritim Negeri Terbaik yang diberikan kepada Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Piala Perkasa bagi kapal maritim terbaik yang disandang oleh KM Tun Fatimah.
Anugerah Khas Maritim Malaysia turut diperkenalkan pada sambutan tahun ini yang disampaikan kepada bekas-bekas Ketua Pengarah Maritim Malaysia sebagai menghargai peranan mereka dalam pembangunan dan pentadbiran agensi berkenaan.
--BERNAMA