SUNGAI PETANI, 15 Feb (Bernama) -- Konvensyen Perpaduan Kedah 2025 di sini hari ini menggariskan lima resolusi yang dipersetujui bersama hasil garapan pandangan pimpinan dan akar umbi Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata resolusi itu untuk hala tuju Kedah dalam Kerajaan Perpaduan dengan sasaran merampas kepimpinan kerajaan Kedah pada pilihan raya umum akan datang.
“(Antaranya) kita setuju untuk wujudkan sekretariat bersama yang akan menyusun semua perancangan dan gerak kerja politik secara lebih tersusun serta memastikan kesepakatan dalam gerak kerja. (Selain itu), sebagai pembangkang di Kedah, kita akan menubuhkan jawatankuasa bayangan bagi setiap portfolio Exco kerajaan negeri.
“Hal ini untuk memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang yang efektif terhadap dasar dan keputusan kerajaan negeri. Kita tidak mahu hanya kerajaan negeri yang sentiasa menyerang Kerajaan Persekutuan tanpa dipertanggungjawabkan terhadap pentadbiran mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas konvensyen itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata konvensyen berkenaan membuktikan PH dan BN mempunyai banyak persamaan dalam meletakkan sasaran perjuangan untuk Kedah dengan kehadiran hampir 1,000 perwakilan.
“… ini adalah satu permulaan yang baik dan kita akan menyusun lebih banyak program bersama selepas ini termasuk jelajah ke seluruh negeri dengan penglibatan sayap Pemuda dan Wanita,” katanya.
Ditanya keyakinan merampas Kedah, beliau berkata: “Tiada yang mustahil dalam dunia ini”.
-- BERNAMA