DUNIA

THAKSIN: ‘WANG HARAM’ DARIPADA PUSAT PENIPUAN BIAYAI KONFLIK MYANMAR

17/02/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra mendakwa dana haram yang diperoleh daripada pusat penipuan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar serta di beberapa bahagian di Kemboja dan Laos, membiayai konflik dalaman yang sedang berlaku di Myanmar.  

Bercakap kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Bangkok baru-baru ini, Thaksin menyifatkan rangkaian penipuan itu sebagai sumber "wang haram."

“Wang haram inilah yang membiayai pertempuran antara junta Myanmar dan banyak puak,” katanya menonjolkan kerumitan konflik dalaman sambil menekankan keperluan untuk ia ditamatkan.  

Bekas perdana menteri berusia 75 tahun itu berkata negara-negara ASEAN bimbang dengan sindiket jenayah rentas sempadan yang beroperasi di wilayah berkenaan.  

Untuk membanteras penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia, Thailand telah memotong bekalan elektrik, internet dan bahan api ke lima bandar sempadan di Myanmar mulai 5 Feb.  

Thaksin berkata walaupun penduduk tempatan di kawasan berkenaan turut terjejas akibat gangguan tersebut, langkah itu perlu diambil kerana “Thailand mahu penduduk setempat memberi tekanan kepada kumpulan penipuan ini supaya meninggalkan kawasan itu.”  

Pada 13 Feb, Bangkok Post melaporkan bahawa perniagaan milik China telah meninggalkan Payathonzu, sebuah bandar sempadan Myanmar berdekatan wilayah Kanchanaburi di Thailand, selepas bekalan elektrik diputuskan.  

Tentera Demokratik Buddha Karen (DKBA) yang menguasai kawasan itu dilaporkan telah mengarahkan perniagaan haram untuk keluar sebelum 28 Feb. Menurut akhbar itu, pemotongan bekalan utiliti dari Thailand telah menjejaskan lebih 50,000 penduduk di Payathonzu.  

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn yang juga anak bongsu Thaksin, berkata Thailand bersedia bekerjasama dengan China dan negara jiran lain untuk menamatkan penipuan, penipuan perjudian dan aktiviti haram lain.  

Semasa lawatan rasminya ke China awal bulan ini, Paetongtarn mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.  

Xi mengucapkan terima kasih kepada Paetongtarn atas “tindakan tegas” yang diambil oleh Thailand terhadap sindiket yang menyasarkan rakyat China, termasuk memutuskan bekalan elektrik ke tiga pusat jenayah di seberang sempadan Thailand baru-baru ini.  

Semasa mesyuarat kabinet mingguan pada 11 Feb, Paetongtarn mengarahkan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat, bersama pihak berkuasa keselamatan, untuk mempercepat usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan penipuan dalam talian.  

Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Houngsub berkata agensi dan pihak berkuasa berkaitan telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa China bagi membanteras sindiket pusat panggilan itu.  

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Phumtham Wechayachai pula melaporkan kepada kabinet bahawa satu arahan pemindahan pegawai tinggi Thailand yang didakwa terlibat dengan sindiket pusat panggilan akan dikeluarkan.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan