EKONOMI

SME VENTURE@ASEAN 2025 JANGKA TARIK LEBIH 10,000 PENGUNJUNG, JANA JUALAN RM300 JUTA

18/02/2025 08:50 AM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- SME Venture@ASEAN 2025 dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dan 300 pempamer tempatan serta antarabangsa, terutamanya dari negara anggota ASEAN dan rakan dagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Rizal Nainy berkata acara tersebut yang akan diadakan dari 16 hingga 18 Oktober ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) juga dijangka menjana lebih RM300 juta jualan.

Beliau berkata ia akan berfungsi sebagai platform untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperlihatkan keupayaan mereka, memudahkan sesi pemadanan perniagaan dengan PKS ASEAN dan syarikat utama, serta mewujudkan peluang untuk pengeksportan.

“PKS tidak seharusnya hanya menumpukan usaha untuk mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran domestik bagi menjamin prospek dalam landskap ekonomi yang lebih bebas. Pada masa yang sama, mereka juga perlu bersedia untuk mencari peluang perniagaan baharu di luar negara.

"Mereka perlu menjadikan pesaing antarabangsa sebagai kayu ukur dan bersedia menerapkan amalan terbaik serta melengkapkan dengan kemahiran dan kepakaran teknikal yang diperlukan,” katanya ketika pelancaran awal SME Venture@ASEAN 2025 di sini hari ini.

Acara tersebut dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ewon juga menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) di bawah Program Pemecut Eksport antara SME Corp dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sementara itu, Ewon dalam ucapannya berkata SME Venture@ASEAN 2025 adalah platform yang mempunyai pelbagai aktiviti untuk membuka peluang kepada PKS meneroka pasaran global.

Sebanyak 200 sesi pemadanan perniagaan akan diatur sepanjang acara itu.

Ewon berkata kementeriannya melalui SME Corp juga komited untuk membawa syarikat utama dan pembeli bukan sahaja dari negara anggota ASEAN, tetapi juga dari negara rakan MoU Malaysia seperti Turkiye, Jepun, Arab Saudi, Oman, Georgia, dan Kazakhstan menyertai acara itu.

Oleh itu, pempamer akan berpeluang mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka yang paling inovatif, menyasarkan kedua-dua segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).

“Pameran B2B bertujuan untuk menonjolkan PKS yang bersedia untuk mengeksport dalam sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, minyak dan gas, bioteknologi, peranti perubatan, aeroangkasa, pelancongan, pertanian pintar, dan industri halal.

“Manakala segmen B2C di bawah ASEAN Market Fair bertujuan menarik minat orang ramai dengan pelbagai produk pengguna dari negara ASEAN, termasuk makanan dan minuman, pakaian, produk kesihatan dan kecantikan, kosmetik, kraftangan, serta tawaran pelancongan, sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Acara ini juga akan menampilkan aktiviti yang menyokong usaha eksport PKS, termasuk bengkel mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), forum mengenai alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), ceramah bantuan eksport, sesi teknologi, pembentangan dana eksport, dan pelancaran produk.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan