SEREMBAN, 18 Feb (Bernama) -- Seorang remaja perempuan menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di sebuah pusat asuhan, tahun lepas.
Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, membuat pengakuan itu terhadap empat pertuduhan dihadapinya yang dibacakan berasingan di hadapan dua Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Datin Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin dan Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menolak representasi dikemukakan remaja itu.
Berdasarkan pertuduhan, Puteri Nurin Amalina didakwa sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak itu telah menganiaya mereka dengan menekap sudu besi panas pada lengan mangsa sehingga melecur di sebuah pusat jagaan dekat sini pada Ogos 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 19 Mac untuk fakta kes dan hukuman serta mendapatkan laporan sosial remaja itu.
Tertuduh diwakili peguam Boestamam Ahmad.
Puteri Nurin Amalina didakwa di mahkamah pada 12 Sept lepas dan semasa itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
-- BERNAMA