RAMALLAH, 18 Feb (Bernama-Prensa Latina) -- Lebih 250,000 rumah musnah atau mengalami kerosakan teruk di Semenanjung Gaza selepas 15 bulan diserang Israel, menurut sumber rasmi Palestin.
Prensa Latina melaporkan bahawa Kementerian Kerja Raya dan Perumahan wilayah itu menganggarkan sebanyak 170,000 rumah telah dimusnahkan, manakala 80,000 lagi tidak selamat untuk didiami.
Kementerian itu menegaskan bahawa usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan pautan pangkalan data banci pertama dengan sistem maklumat geografi, menerusi penyelarasan bersama pihak berkuasa perbandaran.
Ia turut menyatakan bahawa proses tinjauan lapangan meningkat selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Jan, kerana pasukan kerja akhirnya dapat memasuki kawasan yang sebelum ini tidak boleh diakses akibat perang.
Bulan lepas, Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa Israel telah merosakkan atau memusnahkan 179,812 bangunan di Gaza, bersamaan 69 peratus daripada keseluruhan bangunan di wilayah itu, sejak konflik bermula pada Oktober 2023 hingga 1 Disember 2024.
PBB menganggarkan bahawa pemulihan semula Gaza akan mengambil masa sehingga 15 tahun dan menelan kos lebih US$53 bilion.
Menteri Kerja Raya dan Perumahan Palestin Ahed Faiq Bseiso memberi amaran bahawa kerja-kerja pembersihan runtuhan di Gaza dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun berikutan tahap kemusnahan yang meluas akibat serangan Israel.
Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar pula menganggarkan bahawa serangan itu telah menyebabkan lebih 42 juta tan sisa runtuhan yang tercemar dengan bahan berbahaya di wilayah berkenaan.
-- BERNAMA-PRENSA LATINA