KOTA BHARU, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing selepas disyaki menyeleweng lebih 15,000 liter minyak diesel dengan nilai rampasan hampir RM150,000 dekat Kampung Pasir Era, Kuala Nal di Kuala Krai, Isnin lepas.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata serbuan dilakukan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubur sehingga berjaya membongkar kegiatan licik penyelewengan minyak diesel yang disyaki digunakan untuk aktiviti perlombongan bijih besi secara haram.
“Pemeriksaan yang dilakukan di lokasi menemukan beberapa barang bukti termasuk sebuah lori tangki, paip getah serta dokumen berkaitan transaksi jual beli.
“Ketika serbuan dilakukan, pasukan penguat kuasa mendapati enjin lori masih dihidupkan dan satu saluran paip getah disambungkan ke dalam sebuah skid tank atau tangki penyimpanan, manakala seorang lelaki dilihat sedang mencangkung di atas tangki itu sambil memegang paip besi, sementara pemandu lori berada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua daripada empat suspek yang ditahan dipercayai pekerja di tapak perlombongan berkenaan, sebelum pihaknya mengesan sebuah lori tangki jenis Hino yang membawa minyak diesel memasuki kawasan tapak perlombongan yang tidak berlesen.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa lesen yang sah serta membekalkan kepada pihak tidak berlesen.
-- BERNAMA