Daripada Noor Bakthtiar Ahmad
MANAMA (Bahrain), 19 Feb (Bernama) -- Presiden Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain (SCIA), Shaikh Abdulrahman bin Mohammed bin Rashid Al Khalifa menekankan keperluan untuk memperkukuh titik persamaan antara mazhab dalam Islam serta mendukung prinsip yang memupuk pemikiran dan tingkah laku yang membina.
Beliau menggariskan kepentingan kewujudan bersama, persefahaman, keharmonian dan rasa hormat sebagai nilai asas yang mesti dipelihara tanpa kompromi.
“Peranan penting pemimpin, ulama dan cendekiawan dalam menyatukan saf serta mengutamakan kepentingan bersama umat Islam menuntut visi bersama untuk masa depan yang makmur melalui dialog dan kerjasama yang konstruktif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Dialog Intra-Islam di sini, pada Rabu.
Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Al Azhar Al Sharif, SCIA dan Majlis Hukama Muslim.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri persidangan itu di luar lawatan rasmi sulungnya ke Bahrain.
Anwar merupakan satu-satunya Ketua Kerajaan yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada persidangan yang diadakan di bawah naungan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa.
Shaikh Abdulrahman turut mengetengahkan model kewujudan bersama yang telah lama diamalkan di Bahrain, diperkukuh oleh kedudukannya sebagai persimpangan tamadun serta hab perdagangan dan aktiviti maritim.
Beliau berkata kepelbagaian di Bahrain, yang merangkumi pelbagai agama, mazhab dan etnik, menjadi tunjang pembangunan negara itu dengan memupuk budaya keharmonian dan saling menghormati.
Beliau turut menegaskan komitmen Bahrain untuk terus memperkukuh nilai-nilai ini bagi memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.
-- BERNAMA