JENAYAH & MAHKAMAH

OPERASI SAR AWAK-AWAK WARGA THAILAND DIHENTIKAN SELEPAS TIADA PETUNJUK

20/02/2025 03:11 PM

ALOR SETAR, 20 Feb (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat seorang awak-awak Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di muara kuala Sungai Yan Kechil, sejak Isnin lepas dihentikan selepas gagal menemukan mangsa, kata Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak.

Beliau berkata operasi dihentikan pada 7.30 malam tadi selepas tiada sebarang petunjuk dikesan sepanjang tiga hari pencarian dilakukan.

“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC Langkawi) telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu menyatakan mangsa, warga Thailand berusia 42 tahun telah jatuh ke laut pada 11 malam, Ahad lepas di kedudukan 21.1 batu nautika barat daya muara kuala Sungai Yan Kechil.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada 3.15 petang Isnin, dengan bot ronda Perkasa 1226 dan bot Penggalang 40 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sejurus operasi diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi turut disertai Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Noor Azreyanti sehubungan itu mengingatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar memastikan kesihatan diri selain mengambil langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi individu (PLB).

“Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam melaporkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan