KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- ES Sunlogy Bhd berhasrat memperluaskan portfolionya dalam sektor tenaga solar melalui penyertaan dalam inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) seperti program solar berskala besar 5 (LSS5), LSS5+ dan program tenaga hijau korporat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Sam Teo Chee Teong berkata firma perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) itu mempelbagaikan sektor tenaga solar sejak 2017 seiring dengan pengkomersialan loji solar Junjongnya pada 2023.
"Melangkah ke hadapan, ini akan menjadi satu daripada strategi utama kami. Kami optimis untuk menyertai atau membida bagi LSS5 atau LSS5+ dalam sektor TBB," katanya dalam satu sidang media yang diadakan secara maya selepas majlis penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia di sini hari ini.
Mengenai prospek M&E di Malaysia, Teo berkata berdasarkan penyelidikan pasaran bebas, sektor itu dijangka terus berkembang disokong oleh keadaan pasaran yang menggalakkan.
Beliau berkata pelaburan strategik di rantau ini semakin penting sebagai hab pembuatan dan kejuruteraan.
"Faktor tersebut memberikan peluang yang besar kepada pemain industri untuk mengembangkan operasi selain meningkatkan tawaran perkhidmatan mereka bagi memenuhi permintaan pasaran yang dinamik," katanya.
ES Sunlogy hari ini membuat penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 30.5 sen dengan premium setengah sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen dengan 26.05 juta saham diniagakan.
Daripada RM42 juta yang diperoleh menerusi IPO, syarikat itu berkata RM14.1 juta akan digunakan untuk membangunkan dan membina loji fotovoltaik solar berskala besar Selarong yang dijangka dikomersialkan pada Disember.
"Selain itu, RM14 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman manakala RM9.2 juta lagi akan menyokong keperluan modal kerja syarikat.
"RM0.7 juta akan digunakan untuk membeli sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan kumpulan serta RM4.0 juta untuk perbelanjaan IPO," katanya.
Pada 5 petang, kaunter itu menutup dagangan harian pada harga 30 sen, sama seperti harga IPO dengan 143.60 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA