AM

KERJASAMA TLDM, TNI-AL PERKUKUH KESELAMATAN PERAIRAN SELAT MELAKA

20/02/2025 04:37 PM

IPOH, 20 Feb (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) dalam memastikan keselamatan di perairan Selat Melaka menerusi Patroli Terkoordinasi (Op Patkor Malindo) Siri 167/25, bermula semalam hingga 1 Mac ini.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi berkala itu bertujuan memastikan keselamatan perairan serta meningkatkan kesalingoperasian dalam menghadapi ancaman maritim.

Kenyataan itu memaklumkan pada edisi kali ini, TLDM telah mengatur gerak KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Jerai, manakala TNI-AL mengoperasikan KRI Lepu dan KRI Karotang.

“Keempat-empat aset ini akan menjalankan latihan meliputi rondaan maritim, perkongsian risikan serta koordinasi menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Timbalan Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Ahmad Sapuan Fathi Muhammad merasmikan majlis pembukaan operasi berkenaan di Dewan Tun Rahah, Markas Wilayah Laut 3, Langkawi yang turut dihadiri Panglima Wilayah Laut 3 Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar dan Komandan Gugus Keamanan Laut (Danguskamla) Laksamana Pertama TNI Anung Sutanto.

Ahmad Sapuan Fathi dalam kenyataan itu menegaskan kehadiran keempat-empat aset berkenaan dalam melaksanakan kawalan dan rondaan bersama amat signifikan kerana Selat Melaka antara laluan maritim terpenting dunia yang menghubungkan Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

“Selat ini menyumbang lebih 25 peratus dagangan maritim dunia dan menjadi laluan lebih 150,000 kapal setiap tahun dan rondaan bersama memberi impak positif terhadap keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan operasi berkenaan akan berlangsung dalam beberapa fasa, termasuk perancangan staf, pelayaran bersama, latihan di laut dan sesi penilaian keberkesanan prosedur operasi. 

Pada masa sama, kaedah itu juga akan memberikan peluang kepada anggota dari kedua-dua negara untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan operasi maritim.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan TLDM merekodkan 1,747 pengesanan, manakala TNI-AL mencatatkan 490 pengesanan aktiviti bot nelayan tempatan dan asing di perairan Selat Melaka menerusi Op Patkor Malindo sepanjang tahun lepas.

“Dari segi pemeriksaan, TLDM menjalankan 131 pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dan asing, sementara TNI-AL melaksanakan 153 pemeriksaan. 

“Walaupun tiada tangkapan direkodkan, pemantauan dan pemeriksaan ketat telah memberikan impak positif dalam memastikan keselamatan perairan ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan