AM

KUTIPAN ZAKAT DI KELANTAN MENINGKAT 15 PERATUS PADA 2024 - MAIK

20/02/2025 05:20 PM

KOTA BHARU, 20 Feb (Bernama) -- Jumlah kutipan zakat di Kelantan tahun lepas meningkat 15 peratus kepada RM296.52 juta, berbanding RM257.09 juta pada 2023.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata zakat pendapatan merekodkan kutipan tertinggi dengan sebanyak RM183.3 juta.

"Ini diikuti zakat perniagaan RM54.1 juta, zakat wang simpanan (RM24.3 juta), zakat harta (RM13.5 juta) dan lain-lain zakat termasuk pertanian, fitrah, saham, emas, ternakan dan qada (RM19.1 juta).

"Antara faktor peningkatan kutipan disumbangkan melalui potongan gaji kakitangan kerajaan dan swasta melibatkan 30,865 orang pembayar dengan jumlah RM86.2 juta atau 30 peratus daripada jumlah besar kutipan zakat," katanya kepada pemberita di Majlis Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK berjaya mengagihkan wang zakat berjumlah RM269.4 juta tahun lepas, berbanding RM233.6 juta pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

"Agihan zakat kepada semua empat kategori asnaf turut mencatatkan peningkatan iaitu bantuan asnaf Amil, Al-Gharimin, Al-Riqab dan Ibnu Sabil," katanya.

Beliau berkata perbelanjaan program asnaf fakir dan miskin pula mencatat RM101.6 juta pada tahun lepas manakala agihan zakat pendidikan berjumlah RM24 juta, pengimarahan masjid mukim (RM16 juta) dan penyelenggaraan masjid (RM9.2 juta).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan