AM

KELUARGA MURID TERCEKIK "GUMMY" MOHON DOA AGAR ANAK SEMBUH

20/02/2025 06:00 PM

GEORGE TOWN, 20 Feb (Bernama) -- Keluarga kepada murid lelaki tahun empat yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy, memohon doa semua rakyat Malaysia agar kanak-kanak itu kembali sihat.

Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata dia dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, tidak menuding jari atau menyalahkan sesiapa dalam kejadian yang menimpa anaknya, Mohamad Fahmi Hafiz, 10.

Dalam keadaan sebak, dia berkata mereka sekeluarga hanya berharap orang ramai dapat terus mendoakan kesejahteraan anak sulung daripada dua beradik itu.

"Saya hanya minta doa daripada orang ramai agar ada keajaiban Allah berlaku kepada anak saya … walaupun kita makan nasi boleh tersedak, benda macam itu boleh berlaku. Saya tak salahkan sesiapa, saya maafkan semua,” katanya ketika ditemui pemberita di HPP di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

Ibu saudara kanak-kanak itu Siti Farhani Muhammad Fikri, 33, dilaporkan berkata Mohammad Fahmi Hafiz dikatakan tercekik dan mengalami kesukaran bernafas, namun sempat menuju ke arah guru sebelum rebah.

Mohammad Fakhruddin yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata tekanan darah dan oksigen anaknya itu semakin menurun dan sebagai bapa, dia amat terkesan kerana sangat rapat dengan anak sulungnya itu.

Katanya, mereka sekeluarga luluh hati melihat keadaan Mohammad Fahmi Hafiz kerana kanak-kanak itu seorang anak yang ceria, namun kini harapan untuk sembuh amat tipis.

"Saya juga terguris dengan kata-kata negatif netizen. Memang sebak … saya harap netizen faham, saya tidak salahkan sesiapa, saya maafkan semua yang berkata (negatif) dekat saya dan anak," katanya dan menambah dia dan isteri tidak pulang ke rumah kerana ingin mengikuti perkembangan anaknya di PICU HPP.

Mohamad Fakhruddin berkata menurut doktor yang merawat Mohammad Fahmi Hafiz, anaknya tidak menunjukkan sebarang perkembangan dan kini hanya bergantung pada mesin bantuan oksigen.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan