AM

BELIA SELANGOR DIPELAWA SERTAI ADN MUDA 2025, KENALI PROSES GUBAL DASAR NEGERI

20/02/2025 06:48 PM

SHAH ALAM, 20 Feb (Bernama) -- Golongan belia dipelawa menganggotai program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda 2025 bagi memahami proses penggubalan undang-undang dan dasar di Selangor.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San berkata permohonan ADN Muda dibuka bermula hari ini hingga 20 April depan, dengan pelaksanaan program pada Jun dan Julai.

“Program ADN Muda pada tahun ini bakal dilaksanakan dengan format baharu. Pusingan pertama melibatkan 112 peserta yang dipilih berdasarkan permohonan diterima.

“Mereka akan mengikuti pusingan pertama program pada 14 Jun di Wisma Dewan Negeri Selangor dan 56 peserta yang berjaya melepasi pusingan pertama akan mengikuti program selama dua hari satu malam iaitu pada 28 dan 29 Julai nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Lau berkata program itu terbuka kepada belia berumur 18 hingga 35 tahun tanpa mengira latar belakang dengan keutamaan diberikan kepada pengundi Selangor.  

Beliau berkata peserta berpeluang mencadangkan serta membahaskan usul yang memberi impak kepada belia membabitkan lapan topik utama antaranya pemerkasaan ekonomi, pendidikan dan kos sara hidup.

“Peserta juga akan dimasukkan dalam kumpulan untuk mereka mencadangkan usul berkaitan topik dan dua usul yang mendapat undian tertinggi dibawa ke sidang kemuncak pada 29 Julai,” katanya.

Program ADN Muda yang dilaksanakan sejak 2014 menawarkan piala pusingan iaitu Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor kepada pembahas terbaik, yang akan dipilih pada sidang kemuncak.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman media sosial di Instagram dan Facebook ADN Muda Selangor atau portal rasmi dewan.selangor.gov.my.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan