EKONOMI

MALAYAN CEMENT CATAT UNTUNG LEBIH TINGGI PADA SUKU KEDUA

20/02/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Malayan Cement Bhd (Malayan Cement) meningkat kepada RM184.68 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis, 2024 daripada RM121.18 juta tahun ke tahun.

Ia dipacu oleh keuntungan sekali sahaja daripada pengambilalihan tanah wajib, kecekapan operasi, kos pengeluaran rendah dan pengurangan kos pinjaman.

Jumlah hasil bagi suku tersebut sedikit rendah kepada RM1.153 bilion berbanding RM1.158 bilion tahun sebelumnya, berikutan jualan simen tempatan yang lebih rendah.

Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih Malayan Cement melonjak kepada RM324.12 juta daripada RM217.28 juta manakala jumlah hasil lebih tinggi pada RM2.32 bilion berbanding RM2.31 bilion.

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim 5.0 sen sesaham biasa dan 5.0 sen sesaham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025.

Kumpulan itu berkata, ia akan kekal fokus dalam memastikan kecekapan operasi, logistik dan pengedaran kerana ketidaktentuan ekonomi yang lebih meluas mungkin berterusan berikutan tekanan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan