JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN RAMPAS 5,500 BARANGAN TIRUAN BERNILAI RM360,000 DI PETALING STREET

21/02/2025 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

(KPDN) merampas 6,500 unit barangan yang disyaki tiruan bernilai RM360,000 daripada 20 premis di sekitar Jalan Petaling di sini hari ini.

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata rampasan itu dibuat dalam serbuan pada 3.30 petang tadi di kawasan berkenaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Putra.

Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas termasuk beg tangan, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, jam tangan dan topi, dipercayai dijual pada harga serendah RM50 hingga RM450.

"Sejak 2023, Jalan Petaling telah disenaraikan semula dalam United States Trade Representative Report sebagai lokasi premis penjualan barangan tiruan terkemuka di dunia.

"Justeru, Malaysia digesa untuk mengambil tindakan segera supaya nama Jalan Petaling dapat dikeluarkan daripada senarai tersebut kerana ia boleh menjejaskan pelaburan negara, terutamanya yang melibatkan pemilik cap dagangan dari serata dunia," katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Mengulas lanjut, Nurul Syarina berkata semakan rekod oleh pihaknya mendapati premis yang terlibat berkemungkinan beroperasi dalam rangkaian yang sama dan disyaki diusahakan oleh warga asing, manakala rakyat tempatan berperanan sebagai pemilik premis.

Beliau berkata siasatan juga mendapati barangan tersebut dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan disimpan di stor tertentu sebelum diedarkan kepada peniaga untuk dijual.

Menurutnya serbuan itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan peruntukan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan tiruan untuk syarikat dan RM10,000 bagi individu yang terlibat.

"Siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (ALMATFPUAA) Bagi mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata sepanjang Op Putra yang dilaksanakan sejak 2023, sebanyak 107 kes telah direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai sitaan berjumlah RM1.8 juta.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan