KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Jemaah haji berumur 65 tahun ke atas dan mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi selepas menjalani saringan kesihatan diingatkan supaya mendapatkan vaksin COVID-19 secara percuma di 247 klinik kesihatan terpilih di seluruh negara mulai 17 Feb lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan berkata jemaah disaran membuat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera mulai 14 Feb atau laman web rasmi TH.
"Sehari sebelum tarikh vaksinasi, peringatan janji temu akan dihantar melalui MySejahtera bagi memastikan jemaah tidak terlepas sesi suntikan mereka," katanya.
Beliau berkata jemaah lain yang tidak tergolong dalam kategori wajib tetapi ingin mendapatkan perlindungan tambahan boleh memilih untuk menerima vaksin secara sukarela selepas berunding dengan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan yang ditetapkan.
"Bagi jemaah haji yang ingin mendapatkan perlindungan tambahan, vaksin pneumokokal amat disarankan dan boleh diambil bersama vaksin influenza kerana penyakit pneumokokal antara penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan mereka," katanya.
Pada 15 Feb lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal, manakala vaksin COVID-19 dan influenza pula diwajibkan bagi kumpulan sasar.
COVID-19 bukan sekadar selesema biasa kerana ia boleh membawa komplikasi serius, terutama bagi warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma serta penyakit paru-paru kronik.
Kesan sampingan vaksin juga kebiasaannya ringan dan bersifat sementara seperti rasa sedikit sakit di tempat suntikan, keletihan atau demam ringan.
Namun, bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma atau penyakit paru-paru kronik, jangkitan COVID-19 boleh menjadi lebih serius hingga memerlukan rawatan di hospital.
Sijil Vaksinasi Digital turut diperkenalkan bagi memudahkan bakal haji, dan dengan inisiatif ini mereka tidak perlu lagi membawa buku atau kad vaksinasi fizikal ke Tanah Suci.
Semua sijil vaksinasi boleh dimuat turun melalui aplikasi MySejahtera dan dikemukakan kepada pihak berwajib Arab Saudi apabila diperlukan.
Syed Hamadah berkata proses digitalisasi dalam perkhidmatan kesihatan merupakan bukti komitmen TH dalam usaha penambahbaikan berterusan bagi memudahkan urusan jemaah haji.
-- BERNAMA