DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA KEKAL MENINGKAT MINGGU DEPAN BERIKUTAN KETIDAKPASTIAN DASAR TRUMP

22/02/2025 11:01 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal mendapat sokongan pada minggu hadapan berikutan ketidakpastian terhadap dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang memacu lonjakan harga emas global baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Beliau berkata pelabur akan memantau dengan teliti ucapan Trump pada Persidangan Tindakan Politik Konservatif, anggaran kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku keempat 2024 dan keseluruhan tahun serta data indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) sebagai penanda inflasi minggu hadapan yang boleh mempengaruhi pergerakan pasaran.

Minggu ini, pasaran niaga hadapan emas tempatan kebanyakannya lebih tinggi.

Pada Khamis, ia mengikuti lonjakan pasaran emas global apabila harga meningkat ke paras tertinggi sepanjang masa iaitu US$2,955 setiap auns troy, sebelum merosot pada hari berikutnya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Februari 2025 berkurang kepada US$2,926.40 setiap auns troy daripada US$2,932.20 setiap auns troy pada hujung minggu lepas manakala kontrak Mac 2025 merosot kepada US$2,933.30 setiap auns troy daripada US$2,939.30 setiap auns troy sebelumnya. 

Kontrak April, Mei dan Jun 2025 semuanya ditutup rendah kepada US$2,943.50 setiap auns troy daripada US$2,946.70 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan berkembang kepada 289 lot daripada 231 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 106 kontrak daripada 104 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 20 Feb, 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,932.05 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan