AM

MUIP PERUNTUK RM734,795 BANTUAN PEMBIAYAAN PTPTN KEPADA PELAJAR ASNAF CEMERLANG

22/02/2025 04:23 PM

KUANTAN, 22 Feb (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM734,795 pada tahun ini untuk bantuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar asnaf negeri ini. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal Dan Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman berkata pemberian bantuan yang memasuki tahun kedua ini diberikan kepada anak asnaf lepasan diploma yang memperoleh keputusan cemerlang. 

“Untuk tahun ini, sebanyak 58 pelajar cemerlang anak golongan asnaf Pahang menerima bantuan pembiayaan PTPTN, membabitkan jumlah keseluruhan RM734,795.  (Ini adalah peningkatan) berbanding tahun lepas, hanya melibatkan 33 penerima dengan peruntukan sebanyak RM283,082.

“Bagi pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 hingga 3.49, bantuan pembiayaan diberikan MUIP adalah sebanyak 70 peratus manakala untuk PNGK 3.5 ke atas, kita beri bantuan 100 peratus jumlah bayaran balik PTPTN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pembiayaan PTPTN anak asnaf cemerlang 2024 di sini hari ini. 

Asmadi berkata bantuan pembiayaan kepada 58 pelajar asnaf cemerlang itu adalah melebihi separuh daripada 102 anak asnaf Pahang yang belajar di seluruh negara. 

Selain bantuan pembiayaan PTPTN, MUIP juga katanya terus memperkukuh usaha memperkasakan pendidikan anak asnaf termasuk memperuntukkan sebanyak RM417,600 bagi Bantuan Sara Hidup Bulanan kepada 145 penerima pada tahun lepas. 

“MUIP juga dalam pada itu, turut memberikan Bantuan Komputer Riba kepada 45 pelajar asnaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM109,400,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan