KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) –Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung serentak dengan Piala Asia Triatlon (ATC) Putrajaya menyaksikan kejayaan berganda buat keluarga Chen apabila adik-beradik Benjamin John dan Esther Joy masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita kebangsaan.
Dalam pada itu, Olimpian Paris 2024 - Max Struder dari Switzerland, menepati statusnya selaku pilihan apabila mengungguli perlumbaan elit lelaki pada ATC Putrajaya sementara Isla Britton dari Kanada pula menjuarai kategori wanita elit.
Benjamin muncul sebagai pelumba lelaki tempatan terpantas setelah menamatkan perlumbaan di tempat ke-43 daripada 65 peserta dengan catatan 1 jam 1 minit 50 saat, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat ketiga yang diraihnya tahun lalu.
“Saya memang mengidamkan gelaran ini akan tiba suatu hari nanti, namun saya tak sangka ia adalah hari ini. Kakak saya sentiasa menjadi inspirasi kepada saya. Selama ini, dia sentiasa berada di kedudukan teratas tetapi saya langsung tidak pernah.
“Saya sentiasa memasang impian untuk menjadi sepertinya satu hari nanti. Jadi, apabila saya berjaya berdiri di podium yang sama tinggi dengan kakak, rasanya memang menakjubkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Esther berjaya mempertahankan gelaran juara wanita kebangsaan setelah menduduki tempat ke-22 dalam kalangan 46 peserta dengan catatan masa 1: 5 :35.
Bagi Esther, kemenangan ini menjadi permulaan yang baik bagi musim 2025, di mana beliau sedang giat membuat persiapan untuk layak ke Sukan SEA Thailand 2025 dengan menyuarakan impiannya untuk menamatkan kemarau pingat buat Malaysia dalam acara triatlon pada temasya dwitahunan itu.
“Saya merasakan telah banyak maju ke hadapan kerana saya tidak lagi perlu bergantung kepada kemampuan larian saya ketika perlumbaan.
“Saya kini juga dapat berenang dengan baik dan dengan peningkatan kekuatan saya dalam rutin berenang, segalanya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Perlumbaan berkenaan dipertandingkan dalam jarak pecut, yang menggabungkan rutin renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan larian 5km.
-- BERNAMA