POLITIK

ISU PERUNTUKAN PEMBANGKANG: TIDAK PERNAH ADA SYARAT PERLU SOKONG SAYA - PM ANWAR

22/02/2025 10:21 PM

BANGI, 22 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

"Mereka sebelum apa-apa pun sudah tuduh kita paksa sokong Perdana Menteri. Kita tidak ada langsung syarat-syarat yang dikemukakan," katanya pada sidang media Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di sini hari ini.

Beliau mengulangi nasihatnya kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Anwar berkata perbincangan sedemikian bukanlah perkara baharu malah beliau sendiri semasa Pakatan Harapan menjadi pembangkang pernah berbincang dengan Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  

"Jadi saya rasa benda ini kalau boleh jangan dihebahkan di luar tetapi jalur untuk mengadakan perjumpaan bukan perkara baharu, kita bincanglah dulu," katanya.

Ditanya jika beliau secara peribadi akan berjumpa dengan wakil pembangkang mengenai perkara itu, Anwar berkata ia tidak perlu kerana mandat untuk mencapai kata sepakat diberikan kepada Fadillah.

"Seperti kita tahu sudah dua tahun lebih dia (Ahli Parlimen pembangkang) berdolak-dalik. Kita tidak ada masalah, kita dah beri ruang.

"Saya kalau nak berjumpa secara berasingan itu tidak apa, tetapi dalam hal ini memang mandat diberikan Jemaah Menteri dan semua parti dalam Kerajaan MADANI (kepada Fadillah)," katanya.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang menasihati pemimpin pembangkang supaya berunding dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk Ahli Parlimen mereka.

Johari dipetik berkata pihak pembangkang disaran berjumpa dan berbincang dengan Anwar mengenai isu tersebut memandangkan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat adalah berdasarkan keputusan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan