AM

LEBIH RM123 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK RISDA ZON TIMUR

23/02/2025 10:11 AM

KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan lebih RM123 juta untuk bantuan program pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Zon Timur tahun ini bagi memperkasakan pekebun kecil getah di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

RISDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu antara lain bertujuan meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil yang menjadi agenda cetusan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Peruntukan itu merangkumi program bantuan penanaman getah kepada pekebun kecil serta pelbagai inisiatif lain seperti bantuan prasarana ladang, bahan input pertanian, peningkatan ekonomi, pembangunan kemahiran dan modal insan.

RISDA turut menitikberatkan inisiatif yang membolehkan pekebun kecil memperoleh pendapatan tambahan melalui elemen keusahawanan dan agromakanan.

"Oleh itu, RM13.57 juta diperuntukkan melalui Program Keusahawanan di Zon Timur, yang memberi manfaat kepada 1,552 usahawan bimbingan RISDA manakala RM9.12 juta lagi bagi membantu 450 pekebun kecil yang menyertai Program Agromakanan," menurut RISDA dalam kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM56 juta untuk Program Tanam Semula RISDA dan RM28 juta bagi bantuan Skim Getah Matang RISDA di Zon Timur.

Menurut kenyataan itu dalam usaha menggiatkan promosi program pembangunannya, RISDA menganjurkan Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Timur 2025 yang berlangsung tiga hari bermula semalam di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini.

Program KARRISMA Zon Timur 2025 yang berkonsepkan karnival rakyat itu, merupakan inisiatif terkini RISDA dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan program pembangunan termasuk peranan Kumpulan RISDA Holdings. 

"la bermatlamat untuk mengangkat martabat komuniti pekebun kecil yang selama ini menjadi tunjang kepada sektor industri getah negara,” menurut kenyataan itu. 

Penganjuran program itu merupakan kali kedua selepas di Kluang, Johor tahun lepas, dan kali ini menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari.

Majlis perasmian KARRISMA Zon Timur hari ini disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Ibrahim Syed Ahmad dan turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA  Zainal Azni Zulkifli.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan