SUKAN

PRESTASI KONSISTEN KUNCI MELAKA FC JULANG TROFI KEJUARAAN A1 SEMI PRO

23/02/2025 10:13 AM

MELAKA, 23 Feb (Bernama) -- Prestasi konsisten pasukan Melaka FC sepanjang saingan Liga A1 Semi Pro musim ini, dilihat menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu menjulang trofi kejuaraan.

Ketua Jurulatihnya K Devan berkata walaupun menyifatkan mereka sebagai sebuah pasukan baharu, namun barisan pemain berjaya mengekalkan persembahan terbaik sejak awal hingga perlawanan terakhir.

“Selepas kita membuat pembentukan pasukan baharu musim ini, sedikit demi sedikit kita mencapai kemenangan yang telah menambah keyakinan dalam diri para pemain, bagi memastikan Melaka FC dapat mengenggam kejuaraan.

“Kita juga menang dengan jaringan terbanyak, mencatat jumlah bolos yang sedikit selain berjaya mengesahkan kejuaraan lebih awal pada tiga perlawanan terakhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Terdahulu dalam aksi terakhir di Stadium Hang Jebat Krubong itu, Melaka FC mencatatkan kemenangan bergaya 7-2 ke atas Machan FC bagi melengkapkan kejayaan gemilang merangkul gelaran kejuaraan Liga A1 Semi Pro.

Mengulas lanjut jurulatih berusia 64 tahun itu berkata beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemilik pasukan Datuk Nur Azmi Ahmad, yang telah memainkan peranan besar dan memberikan komitmen dalam menjaga kebajikan pasukan.

“Memang pasukan ini juga telah layak ke Liga Super namun apa sahaja perancangan untuk pasukan ini, kita serahkan kepada presiden untuk buat keputusan selanjutnya,” katanya.

Selaku juara Liga A1 Semi Pro, Melaka FC membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Untuk rekod musim ini, Melaka FC mengumpul 71 mata dengan mencatatkan 22 kemenangan selain lima seri dan hanya tewas sekali.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan