AM

KUSKOP PERUNTUK RM12 JUTA BAGI PROGRAM TUBE TAHUN INI - EWON

23/02/2025 04:23 PM

PENAMPANG, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM12 juta bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan disalurkan menerusi agensinya SME Corp Malaysia itu menyasarkan untuk melatih 500 usahawan di seluruh negara termasuk 110 usahawan dari Sabah. 

“Saya percaya gerakan keusahawanan seperti ini dapat mengeluarkan Sabah daripada kemiskinan tegar yang banyak kali disebut dalam pelbagai platform. Pada masa sama saya berharap usahawan Sabah yang lain juga akan mengambil peluang daripada perkhidmatan disediakan agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program TUBE 11 di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini hari ini.

Program berbentuk latihan asas keusahawanan itu bermula di Sabah sebelum diteruskan di empat zon lain iaitu zon utara, Pantai Timur, Tengah dan Selatan serta Sarawak bermula Mei depan.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata program TUBE menyediakan geran permulaan perniagaan maksimum sehingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan dijalankan selama seminggu.

Beliau berkata untuk tahun ini, program TUBE 11 ditambah baik dengan modul latihan yang lebih dinamik dan selari dengan perkembangan terkini ekosistem keusahawanan menerusi topik seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“KUSKOP juga mencadangkan agar program TUBE diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan penambahbaikan yang lebih berfokus meningkatkan keberkesanan program dan meluaskan capaiannya kepada lebih ramai belia Bumiputera di seluruh negara.

Sejak diperkenalkan pada 2014, TUBE telah melatih 8,543 belia dengan mewujudkan 15,872 peluang pekerjaan dan mencatatkan nilai jualan terkumpul RM194 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan