KOTA TINGGI, 23 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 berakhir hari ini selepas berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Desaru Coast, dekat sini.
Dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sugumari S Shanmugam, peserta mesyuarat mengadakan rundingan, mengemukakan pandangan dan pendirian, merangka dan menyumbang kepada pembangunan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030.
Mesyuarat tersebut dihadiri secara fizikal oleh 30 perwakilan dari semua negara anggota ASEAN serta Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN.
Selain itu, terdapat penyertaan secara maya daripada negara anggota ASEAN dan Timor-Leste serta perunding yang dilantik.
Selepas mesyuarat WG-AEC, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) Ke-47 akan bersidang selama dua hari, mulai esok sebelum Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) untuk Pemukiman AEM Ke-31 bersidang pada 26 dan 27 Februari.
Menteri-menteri ekonomi ASEAN dijadualkan berhimpun untuk pemukiman pada 28 Februari yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.
Pemukiman itu diadakan bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dua nilai yang saling berkaitan dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Elemen keterangkuman dan kemampanan akan diterapkan dalam ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN iaitu Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
Antara keutamaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN selain meninjau dan memperluas kerjasama ekonomi ASEAN di luar rantau ini.
-- BERNAMA