EKONOMI

CHERY AKAN BANGUNKAN TAMAN PERINDUSTRIAN AUTOMOTIF PINTAR DI HULU SELANGOR

23/02/2025 06:29 PM

SHAH ALAM, 23 Feb (Bernama) -- Legenda Beringin Holding Sdn Bhd dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian untuk membangunkan Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery (Chery Smart Auto Industrial Park) di Automotif Berteknologi Tinggi Lembah Beringin (Beringin HTA Valley), Hulu Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata taman perindustrian itu yang dijangka siap pada 2026, merupakan teras fasa pertama pembangunan ekosistem Beringin HTA Valley seluas 324 hektar (800 ekar), yang menjadikan Hulu Selangor sebagai kawasan pembuatan automotif bertaraf dunia dan berteknologi canggih.

Beliau berkata Taman Perindustrian Chery Smart Auto akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun  dengan pelaburan sebanyak RM2.2 bilion.

Ia merupakan antara pelaburan penting untuk memajukan ekosistem perindustrian dan memperkukuhkan daya saing Selangor, serta meletakkan negeri ini sebagai hab pelaburan serantau utama.

"Kemajuan yang kita raikan hari ini merupakan bukti kepada apa yang boleh dicapai melalui perkongsian dan hubungan yang kukuh. Pelaburan oleh Chery Malaysia di Hulu Selangor dan pembangunan oleh Legenda Beringin mengutamakan perkara ini.

"Saya ingin memuji inisiatif Invest Selangor dalam memacu pelaburan asing, dan bekerjasama dengan Legenda Beringin serta Chery Malaysia untuk merealisasikan Beringin HTA Valley dan Taman Perindustrian Chery Smart Auto," katanya.

Teks ucapan Amirudin dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti negeri Ng Sze Han di majlis menandatangani perjanjian dan pecah tanah Taman Perindustrian Chery Smart Auto di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini hari ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli ke majlis berkenaan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi Legenda Beringin Chia Song Kooi, dan Presiden Chery International Zhang Guibing yang disaksikan oleh Tengku Amir Shah dan Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd, Yin Tongyue.

Sementara itu, Zhang berkata Taman Perindustrian Chery Smart Auto seluas 81 hektar (200 ekar) dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 kenderaan setahun, yang boleh ditingkatkan kepada 300,000 kenderaan setahun, merangkumi model enjin pembakaran dalaman (ICE) hinggalah kepada teknologi terkini seperti kenderaan hibrid plug-in (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

"Kami yakin selepas ia siap, kemudahan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat R&D yang canggih, memperluaskan eksport kenderaan ke negara jiran, memperkukuh peranan Selangor melalui rantaian bekalan yang teguh, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan