EKONOMI

SARAWAK CAPAI KEJAYAAN DALAM ELEKTRIFIKASI LUAR BANDAR DENGAN PELUASAN GRID RES DI DARO

23/02/2025 06:36 PM

MUKAH, 23 Feb (Bernama) -- Daro dijangka menerima bekalan elektrik sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2026, dengan pelaksanaan Fasa 3 Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) di Passin.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata projek itu akan membekalkan tenaga elektrik kepada 186 isi rumah di lapan kampung.

“Pencapaian ini adalah bukti kerjasama kukuh antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Sarawak Energy, kontraktor dan komuniti setempat. Bersama-sama, kita mengatasi cabaran besar termasuk bentuk muka bumi yang mencabar dan kawasan paya untuk membina asas bagi pembangunan masa depan,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran projek peluasan grid RES Last Mile Fasa 3 di Rumah Geruka, Batang Lassa 2 pada Jumaat.

Dalam kenyataan Sarawak Energy Berhad hari ini, Julaihi dipetik sebagai berkata Fasa 3 RES di Batang Lassa 2 akan membekalkan tenaga elektrik kepada 54 isi rumah di tiga kampung, termasuk 27 isi rumah di Rumah Geruka.

Sejak siap pada Mac 2024, projek RES Last Mile Fasa 2 di Batang Lassa berjaya membekalkan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik kepada 464 isi rumah di 16 kampung.

“Kami mencapai kemajuan besar sejak 2009, meningkatkan bekalan elektrik keseluruhannya daripada 79 peratus (56 peratus di kawasan luar bandar) kepada bekalan hampir sepenuhnya, mencapai 99 peratus di kawasan luar bandar menjelang akhir 2024,” katanya.

Julaihi berkata inisiatif itu selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang bandar-luar bandar dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi melalui akses elektrik yang lebih baik.

Sejak 2019, Sarawak memperuntukkan RM2.4 bilion di bawah program Projek Rakyat untuk melaksanakan inisiatif elektrifikasi luar bandar di seluruh negeri. Sehingga kini, Sarawak Energy menggunakan 80 peratus daripada dana yang diperuntukkan, dengan bakinya sedang melalui pelbagai peringkat pelaksanaan.

Peluasan grid elektrik adalah langkah penting dalam mewujudkan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan sosioekonomi, di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata peralihan daripada penggunaan penjana diesel kepada bekalan elektrik berterusan menyumbang kepada matlamat jangka panjang Sarawak untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan