BUTTERWORTH, 23 Feb (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu bulan depan.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata beliau yang menjadi ahli CEC sejak 2001 membuat keputusan untuk terus bertanding pada tahun ini selepas mendapat pencalonan.
"Saya masih bertanding kerana dicalonkan, saya tidak tarik balik macam pemilihan negeri (DAP Pulau Pinang). Berapa banyak yang mencalonkan saya, itu saya tak tahu kerana ia diuruskan ibu pejabat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini hari ini.
Pada 4 Sept lepas, Chow memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang disandangnya sejak 25 tahun lepas dalam pemilihan parti negeri.
Ditanya mengenai peluang muka baharu pada pemilihan CEC kali ini, Chow percaya ada ruang buat mereka memandangkan beberapa pemimpin kanan sudah menarik diri daripada pemilihan itu.
Sebelum ini, pemimpin veteran DAP termasuk Naib Pengerusi M. Kulasegaran, penasihat parti Tan Kok Wai dan Bendahari DAP Fong Kui Lun mengumumkan tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.
Pemilihan CEC DAP dijadualkan berlangsung pada 16 Mac ini sempena Kongres Kebangsaan Parti DAP ke-18.
DAP mengamalkan pengundian dua peringkat iaitu pertama, perwakilan perlu memilih 30 calon untuk memegang jawatan dalam CEC dan selepas itu, mereka yang terpilih akan mengundi bagi memilih Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha Agung serta jawatan utama lain dalam parti.
-- BERNAMA