JENAYAH & MAHKAMAH

BAYARAN TUNGGAKAN PENCEN RM1.7 BILION KIRAAN KASAR, BUKAN ANCAMAN - KPPA

24/02/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Bayaran tunggakan pencen kepada 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion bukan satu ancaman bagi menimbulkan ketakutan kepada mana-mana pihak termasuk mahkamah, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sebaliknya beliau berkata ia merupakan pengiraan kasar dibuat berdasarkan kepada data-data sedia ada yang kini perlu dirujuk silang dengan rekod perkhidmatan dan dibuat secara bona fide (berniat baik). 

Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan difailkannya di Mahkamah Tinggi di sini, pada 21 Feb lepas berhubung permohonan kerajaan dan KPPA untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman pesara, Aminah Ahmad berhubung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.

Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan tidak pernah pada bila-bila masa menyatakan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membuat pembayaran penyelarasan pencen berjumlah RM1.7 billion.

“Setiap dana awam itu perlu diuruskan dengan teliti dan teratur bagi memastikan sebarang perancangan yang disusun tidak terjejas demi menjaga kepentingan kerajaan,” katanya dalam afidavit itu.

Wan Ahmad Dahlan berkata semua dana awam mempunyai peranan sendiri dan diperuntukkan (earmarked) bagi tujuan tertentu pada tahun sebelumnya, sama ada bagi tujuan antara lain pembangunan negara, penyelarasan pencen, pelaburan dan simpanan.

“Responden-responden (kerajaan Malaysia dan ketua pengarah perkhidmatan awam) sentiasa mengambil berat akan kebajikan pesara-pesara, namun ia harus diimbangi dengan kepentingan negara,” katanya.

Sementara itu Aminah yang memfailkan afidavit jawapan bagi permohonan penggantungan itu pada 20 Feb lepas berkata, jumlah RM1.7 bilion hanya dibangkitkan sebagai satu ancaman tanpa pengiraan sebenar dengan tujuan menimbulkan ketakutan kepada mahkamah.

Aminah berkata responden-responden tidak mengemukakan sedikit pun bukti bahawa mereka tidak mempunyai dana mencukupi bagi memenuhi kewajipan pembayaran itu.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menangguhkan pendengaran permohonan penggantungan yang sepatutnya berlangsung hari ini ke 4 Mac ini, selepas Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memaklumkan bahawa pemohon (Aminah) baru memfailkan afidavit jawapan pagi ini dan ia disahkan oleh peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Aminah.

Pada 16 Jan lepas, Hakim Amarjeet yang membenarkan permohonan semakan kehakiman itu turut mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman berkenaan.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayarnya melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan