KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merekodkan sejumlah RM42.18 juta inventori terlebih nyata dan perbelanjaan terkurang nyata pada tahun kewangan 2023.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kos jualan terlebih nyata dan perbelanjaan kakitangan terkurang nyata PR1MA pula masing-masing berjumlah RM8.11 juta dan RM4.67 juta.
Laporan itu memaklumkan bahawa PR1MA telah mempermodalkan komisen jualan dan kos guaman bagi penjualan unit rumah berjumlah RM42.18 juta yang tidak mematuhi kehendak Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) 102, Inventori.
Menurutnya kos tersebut sepatutnya direkodkan sebagai perbelanjaan dalam tempoh ia ditanggung dan perkara ini menyebabkan amaun inventori terlebih nyata dan perbelanjaan terkurang nyata sejumlah RM42.18 juta.
“PR1MA telah mengiktiraf kos jualan berjumlah RM289.91 juta berdasarkan peratus penjualan rumah. Kos jualan yang sepatutnya diiktiraf adalah RM281.80 juta iaitu berdasarkan peratus siap projek setakat 31 Dis 2023 selaras dengan kehendak MFRS 15, hasil daripada kontrak dengan pelanggan.
“Perkara ini menyebabkan kos jualan dan kurangan bersih terlebih nyata sejumlah RM8.11 juta,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut memaklumkan PR1MA telah membuat bayaran bonus kakitangan bagi tahun 2023 berjumlah RM4.67 juta dan perlu mengiktiraf amaun tersebut dalam tahun 2023 seperti kehendak MFRS 110, Peristiwa Selepas Tempoh Pelaporan.
“Bagaimanapun, PR1MA hanya mengiktiraf perbelanjaan bonus kakitangan berjumlah RM4.67 juta pada 2024 dan menyebabkan perbelanjaan kakitangan terkurang nyata dan kurangan bersih terlebih nyata berjumlah RM4.67 juta,” katanya.
Sehubungan itu, laporan itu memaklumkan PR1MA perlu mengambil perhatian terhadap beberapa perkara, antaranya prestasi empat daripada enam syarikat subsidiari PR1MA yang telah mencatatkan kerugian dalam penyata kewangan masing-masing pada 2023.
Justeru, katanya PR1MA hendaklah meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan pengurusan kewangan syarikat subsidiari bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan dan berupaya untuk memberi pulangan yang baik kepada PR1MA serta mencapai objektif penubuhannya.
Turut disyorkan adalah menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial yang dirancang dan sedang dilaksanakan berdasarkan keperluan dan pasaran semasa bagi memastikan kebolehpasaran penjualan unit rumah dapat dipertingkatkan serta mencapai objektif pembangunan projek, katanya.
“Selain itu, PR1MA perlu memastikan pengurusan tata kelola diambil serius supaya dapat membantu meningkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam pengurusan PR1MA,” menurut laporan itu.
-- BERNAMA