KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah berunding dengan Kementerian Kewangan (MOF) mengenai kaedah penyaluran agihan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir, yang akan dibuat menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata ia bagi mengubah cara penyampaian konvensional sebelum ini, iaitu agihan melalui Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Beliau berkata sebelum ini Bantuan Wang Ihsan telah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun ada kalangan mangsa banjir didapati tidak tinggal di PPS.
“Sehubungan itu mulai tahun ini NADMA dan Kementerian Kewangan mengubah cara agihannya, tidak lagi melalui sistem kovensional. Kita adakan rundingan supaya senarai mangsa banjir dipindahkan ini mendapat bantuan wang ehsan melalui BSN.
“Ertinya mereka boleh pergi ke BSN untuk menuntut Bantuan Wang Ihsan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata ada permintaan daripada kerajaan Sabah dan Sarawak supaya penyaluran Bantuan Wang Ihsan itu turut disalurkan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.
“Dalam perkara ini kami telah melakukan beberapa urusan melalui tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang telah terjejas. Kita akan dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk pengesahan,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini mengakibatkan kira-kira 223,000 mangsa banjir yang telah dipindahkan.
“Kita telah menyediakan PPS secukupnya yang mampu menampung kira-kira 2.1 juta mangsa banjir,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama yang gigih membantu rakyat terkesan akibat bencana tersebut.
-- BERNAMA