KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Diplomasi ekonomi kini menjadi sebahagian daripada tugas baharu ketua perwakilan Malaysia di seluruh dunia, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata sejak tahun lepas beliau telah mengingatkan warga kerja Kementerian Luar atau Wisma Putra bahawa selain menjalankan tugas biasa atau tugas hakiki iaitu memupuk dan memperkasakan hubungan dua hala dan hubungan pelbagai hala, kekuatan, tonggak dan tulang belakang Malaysia adalah ekonomi.
“Jadi mahu tidak mahu Wisma Putra atau Kementerian Luar mesti mengambil dasar ekonomi. Dasar luar ekonomi sebagai tonggak kedua kita (Kementerian Luar),” katanya kepada pemberita pada sesi Santai Teh Tarik Concorde Club di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Menurut Mohamad, menerusi diplomasi ekonomi perwakilan Malaysia di negara yang mempunyai kedutaan Malaysia di seluruh dunia akan menjaga bukan sahaja hubungan dua hala tetapi memfokuskan untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala dan hubungan ekonomi pelbagai hala di antara Malaysia dan negara berkenaan.
“Hubungan pelbagai hala ialah seperti hubungan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) dan hubungan Malaysia dengan Kesatuan Afrika (AU). Kalau dua hala itu antara negara Malaysia dan (sebuah) negara (asing),” katanya.
“Jadi tugas baharu ditambah kepada ketua perwakilan (Malaysia) yang merupakan senior dalam jawatan kerajaan. Banyak duta Malaysia merupakan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A atau minimum JUSA C,” tambahnya.
“Jadi kita mahu mereka (duta besar Malaysia) sebagai pembuka pintu kepada usaha Malaysia untuk mempelbagaikan pasaran (Malaysia). Saya sebut dalam Parlimen kita tidak boleh terus bergantung kepada pasaran tradisi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu pelbagaikan pasaran supaya barangan Malaysia dapat dijual dan didagangkan di semua pelosok dunia.
Jika terlampau bergantung kepada satu sumber pasaran tradisi jika ada apa-apa berlaku kepada negara tersebut kita (Malaysia) akan berada dalam keadaan yang susah, kata Mohamad.
Beliau berkata faktor ekonomi merupakan penyebab Malaysia mahu turut sama dalam BRICS, begitu juga ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ASEAN-AU dan ASEAN-Asia Tengah.
-- BERNAMA