SUKAN

JDT SAHKAN KEJUARAAN LIGA SUPER KALI KE-11 BERTURUT-TURUT

24/02/2025 11:19 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Feb (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut ketika saingan musim 2024/ 2025 berbaki empat perlawanan selepas menumpaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengutip keseluruhan 58 mata selepas 20 pertemuan untuk meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC yang mengumpul 42 mata daripada 19 perlawanan liga.

Terdahulu, JDT terpaksa berhempas pulas selama 45 minit sebelum pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi bijak melepasi kawalan tonggak pertahanan kiri pasukan lawan Tommy Mawat Bada di sebelah kanan. Dia melorongkan bola kepada penyerang kelahiran Sepanyol Jese Rodriguez Ruiz yang tenang menjaringkan gol pembukaan pada penghujung separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT menggandakan jaringan apabila Jorge Leonardo Obregon Rojas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64 selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Perak Ariff Ar-Rasyid Ariffin.

Arif Aiman kemudian berpeluang untuk menghadiahkan jaringan ketiga pada minit ke-78 menerusi sepakan voli, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

Perak FC turut gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas dua percubaan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada masa kecederaan tersasar.

Kekalahan kesembilan dialami anak buah Yusri Che Lah menyaksikan mereka kekal di tangga keenam liga dengan 23 mata.

JDT yang menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini, kini dalam buruan untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila dijadual bertemu Sri Pahang FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April depan.

Skuad Harimau Selatan akan melakar sejarah Triple Quadruple dalam tiga musim berturut-turut sekiranya berjaya menjadi juara Piala Malaysia musim ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan