JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MAUT, ANAK SELAMAT KERETA DIHEMPAP POKOK TUMBANG

24/02/2025 11:59 PM

SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala anaknya selamat setelah kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang susulan hujan lebat dan angin kencang di Kampung Bukit Kuda, Klang dekat sini petang tadi. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira 6.31 petang sebelum menggerakkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan ke lokasi. 

Beliau berkata setibanya di lokasi, terdapat sebuah kereta dihempap pokok dengan seorang mangsa masih tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang kanak-kanak berusia 13 tahun telah dikeluarkan orang awam tanpa mengalami sebarang kecederaan.

"Berikutan itu, kerja-kerja pemotongan pokok telah dijalankan dengan mangsa berusia 46 tahun yang juga bapa kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan pada 7.12 malam dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam kejadian berasingan di Bulatan Seksyen 15 di sini, seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihempap pokok tumbang pada kira-kira 6.49 petang tadi. 

Ahmad Mukhlis berkata sebanyak tujuh pegawai dan anggota dari BBP Shah Alam telah digerakkan bagi melakukan kerja-kerja pemotongan dengan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Sementara itu, Ahmad Mukhlis berkata seorang lelaki nyaris maut setelah lori yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.

Beliau berkata kejadian di Seksyen 18 itu menyebabkan pemandu lori warga tempatan berusia 50-an tersepit manakala kelindan seorang warga asing berumur 40-an berjaya dikeluarkan orang awam. 

"Pemandu dilaporkan cedera di kaki kiri akibat tersepit manakala kelindan pula cedera di bahagian kepala. Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan