DUNIA

SAIFUDDIN NASUTION JUMPA PELAJAR DAN DIASPORA MALAYSIA

25/02/2025 12:14 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Feb (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap rakyat Malaysia di Indonesia turut memainkan peranan dalam membantu memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara. 

Berucap dalam jamuan makan malam bersama pelajar dan diaspora Malaysia pada Isnin sempena lawatan kerja tiga harinya ke sini, beliau turut menekankan kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia dan menggariskan agendanya, termasuk pertemuan dengan pemimpin Indonesia untuk membincangkan dasar imigrasi, keselamatan sempadan, dan pengurusan tahanan.

Katanya, lawatan beliau dan delegasi bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan menangani isu semasa yang menjadi keutamaan bagi kedua-dua negara.

Beliau menyatakan bahawa lawatan ini juga susulan daripada kunjungan rasmi Presiden Indonesia Prabowo Subianto, ke Malaysia pada Januari lepas.

“Sebagai negara serumpun, kita akan terus memperkukuh hubungan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Saifuddin Nasution juga memberikan perkembangan terkini mengenai hal ehwal domestik Malaysia, termasuk pembaharuan terhadap Akta Perhimpunan Aman, serta persiapan dan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Menurutnya, kerajaan turut berusaha memakmurkan ekonomi bagi mencapai keadilan sosial, menjaga kebajikan rakyat, serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada aspek pentadbiran dan tadbir urus yang berkesan, dengan kerangka Madani yang dijadikan sebagai panduan utama.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Rosli Abdullah, dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Terdahulu, Saifuddin Nasution mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia, Dr Hidayat Nur Wahid membincangkan perihal  dua negara serta isu kemanusiaan.

Mereka turut menyentuh berkenaan usaha pembangunan semula Gaza yang Malaysia memainkan peranan utama bersama-sama Jepun.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan